JANGAN PUTUSKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM SESAMA AHLI KELUARGA !


-
Agama Islam amat melarang umatnya memutuskan hubungan silaturrahim antara satu sama lain. Apatah lagi jika hubungan tersebut melibatkan hubungan adik-beradik dalam satu keluarga. Antara hadis yang menyentuh tentang hubungan silaturrahim ini:
-
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia menjalinkan silatur rahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
-
“Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan silaturrahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
-
Untuk posting ringkas ini, ijam memberikan tumpuan terhadap hubungan silaturrahim antara adik-beradik. Cerita tidak bertegur sapa, tidak kunjung-mengunjung, tidak dijemput ke majlis kenduri-kendara ataupun tidak memenuhi jemputan bukan lagi merupakan perkara luar biasa sejak akhir-akhir ini. Jalinkan hubungan silaturrahim yang lebih erat di kalangan sesama ahli keluarga. Yang terputus, kita jalinkan kembali; yang renggang, kita mesrakan; dan yang rapat, kita pereratkan lagi. Hulurkan tangan memohon maaf tanpa mengira siapa yang benar dan siapa yang salah. Itulah sifat seorang Muslim yang mulia.
-
Menjalinkan hubungan silaturrahim di kalangan sesama ahli keluarga dapat dilaksanakan dengan pelbagai cara. Antaranya, sentiasa berhubungan dengan mereka sama ada dengan menziarahi mereka atau dengan memanfaatkan alat bantu teknologi masa kini (seperti internet, e-mail, sms, atau telefon), mendampingi mereka jika mereka menghadapi kesedihan, meraikan kegembiraan mereka, sentiasa memenuhi undangan mereka, dan mendoakan kebaikan buat mereka. Mari kita sama-sama lakukan sepertimana yang dituntut oleh agama kita ini. Kekuatan umat Islam bermula daripada diri dan keluarga !
-